comscore
Tumpuan :
Nasional

APM ‘bermandi peluh’ tangkap buaya tembaga 

FOTO: APM Melaka Tengah

MELAKA: Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Tengah mengambil masa tiga jam untuk menangkap seekor anak buaya tembaga yang muncul di Sungai Air Batu, Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Sungai Udang, dekat sini, semalam.

Operasi penangkapan reptilia itu dilakukan sebaik menerima laporan awam pada jam 12.30 tengah hari.

Menurut Pegawai Operasi, Latihan dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Leftenan (PA) Mohd Kamil Hassan, empat anggotanya ‘bermandi peluh’ untuk menangkap buaya jenis tembaga itu dengan dibantu orang awam.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati seekor anak buaya berada dalam sungai dan terpaksa menggunakan pam air bagi mengeringkan air.

“Pasukan operasi mengambil masa hampir tiga jam sebelum anak buaya seberat kira-kira 15 kilogram dan panjang lebih satu meter ditangkap dengan menggunakan jala penduduk,” katanya.

Beliau berkata, buaya itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang penduduk Zulkifli Zakariah, 51, memaklumkan buaya itu dikesan seorang penduduk yang mengusahakan tanaman di tepi sungai terbabit sebelum menghubungi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berkenaan.

“Kebetulan saya berada bersama pengerusi JPKK, jadi saya terus ke tempat kejadian sebelum menghubungi bomba untuk bantuan selepas melihat buaya itu timbul.

“Kami lega apabila buaya itu ditangkap pihak APM kerana bimbang diserang haiwan itu ketika mengambil air sungai untuk menyiram tanaman,” katanya yang mengesyaki buaya itu datang dari Sungai Lereh yang mengalir ke laut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini