comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM gagalkan cubaan 9 PATI Filipina ceroboh perairan negara

Oleh : Safwan Sawi

KUDAT: Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat menerusi Op Sejahtera di perairan Pulau Kalampunian, Kudat.

Kesemua PATI berkenaan berusia antara 11 hingga 59 tahun membabitkan lapan lelaki termasuk pengendali bot dan seorang wanita ditahan dalam operasi jam 9.30 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata pihaknya menerima maklumat mengenai pergerakan sebuah bot dari kepulauan Mangsi dipercayai cuba membawa masuk PATI dari negara jiran.

“Kira-kira jam 10 malam, sebuah pam bot berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan gelap menuju ke Simpang Mengayau, Kudat di posisi 0.7 batu nautika barat laut Pulau Kalampunian.

“Bot berkenaan yang sarat dengan penumpang segera ditahan dan diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan menemui sembilan PATI di dalam bot berkenaan.

Kesemua mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Muatan pelbagai jenis ikan hidup tanpa permit dirampas APMM Zon Kudat – Foto APMM

Sementara itu, dalam kes berasingan, bertindak atas maklumat diterima daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA) Sabah, sebuah lagi bot ditahan pada hari sama, jam 5.35 petang  di posisi 3.05 batu nautika timur laut Tanjung Agong-Agong.

“Selepas diperiksa, terdapat dua lelaki warga Filipina yang mengendalikan bot itu. Pemeriksaan juga mendapati, bot terbabit membawa muatan pelbagai jenis ikan hidup tanpa permit yang sah dianggarkan 170 kilogram.

“Bot bersama individu serta barang yang ditahan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dua PATI warga Filipina yang cuba membawa masuk ikan hidup tanpa permit ditahan APMM Zon Kudat. – Foto APMM

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) dan Akta Perikanan 1985.

Loading...
Terkini