comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM patahkan cubaan nelayan Vietnam menceroboh perairan negara

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan sekumpulan nelayan asing Vietnam menceroboh perairan negara ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid dalam kenyataannya hari ini berkata, bot nelayan asing terbabit ditahan kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan Ops Naga Barat di kedudukan 106 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Hasil pemeriksaan pada bot terbabit katanya APMM mendapati terdapat enam nelayan asing termasuk tekong berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Semua nelayan terbabit ditahan selepas mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Mereka juga tidak mempunyai kebenaran untuk menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Khairulanuar berkata, susulan penahanan itu, pihaknya bertindak menyita bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan bekalan minyak diesel berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak lebih RM 1 juta.

Menurutnya, tangkapan terbabit merupakan tangkapan kali ke enam membabitkan bot nelayan Vietnam menceroboh perairan negara tahun ini.

“Tangkapan terakhir dilakukan pada awal bulan ini membabitkan membabitkan tiga buah bot nelayan Vietnam bersama 18 kru,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan rondaan di musim perayaan danmemburu bot nelayan asing yang cuba mengaut keuntungan daripada hasil laut perairan Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau menyeru komuniti maritim untuk terus menyalurkan maklumat atau aduan berkenaan jenayah di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 atau MERS di talian 999.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini