comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM tahan bot nelayan tempatan kerana kesalahan imigresen

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan tujuh awak-awak kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen, di sini, semalam.

Bot nelayan itu ditahan APMM Sandakan di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Berhala, kira-kira jam 6.40 petang.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, hasil pemeriksaan, tekong dan dua awak-awak warga Indonesia itu mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Manakala lima lagi awak-awak berusia 18 hingga 34 tahun disyaki berbangsa Palauh mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Semua suspek serta bot diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suhairy turut mengingatkan supaya komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak APMM dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.

“Komuniti maritim boleh menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini