comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM tahan dua bot bernilai RM300,000 atas pelbagai kesalahan

Foto: APMM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Dua bot tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta perikanan dan Ordinan Perkapalan Saudagar di dua lokasi berasingan, di sini, semalam.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris di perairan daerah ini.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kes pertama membabitkan sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menunda pukat di kedudukan 1.5 batu nautika selatan Batu Tinagat pada jam 5.10 petang.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat lima lelaki warga asing memiliki permit kerja yang sah berusia 23 hingga 42 tahun di dalam bot berkenaan.

“Namun, bot berkenaan didapati melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda pukat di bawah jarak dua batu nautika daripada daratan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebuah lagi bot kargo membawa muatan buah sawit dari Pulau Sebatik ditahan di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Pelabuhan Tawau, kira-kira jam 6 petang.

“Tiga lelaki tempatan termasuk nakhoda berusia 24 hingga 59 tahun ditahan selepas mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh,” katanya.

Katanya lagi, kedua-dua bot bersama muatan dan krew terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan serta tindakan pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Semua barangan termasuk kedua-dua bot yang dianggarkan bernilai RM300,000 itu disita sehingga proses siasatan selesai.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO kerana didapati melanggar syarat sah lesen,” katanya.

Shahrizan menegaskan kepada komuniti maritim setempat supaya lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

“APMM tidak akan berkompromi jika didapati pengusaha bot gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

“Tugas penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini