comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Arwah parah, namun masih bernyawa ketika itu. Suami tidak putus-putus mengajar mengucap..’

Mira Nazira menunjukkan gambar arwah ibunya yang maut selepas digilis sebuah lori. – Foto NSTP

BATU PAHAT: Seorang wanita maut selepas digilis sebuah lori kontena dalam kemalangan di hadapan kilang biskut, di Kilometer 15 Jalan Yong Peng-Muar berdekatan Tongkang Pechah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Hatijah Jais, 57, dilaporkan terjatuh selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar sebuah kenderaan ketika sedang menunggu di lampu isyarat.

Menantunya, Airis Mukri, 39, yang kebetulan bersama arwah tetapi menunggang motosikal berlainan segera mendakap sebaik menyedari ibu mentuanya digilis.

Menceritakan kejadian itu, anak sulung arwah, Mira Nazira Mohd Nazri, 32, berkata ketika kejadian suami sempat mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah.

Lokasi kemalangan yang meragut nyawa Hatijah akibat digilis lori. – Foto: NSTP

“Selepas digilis lori kontena itu, kaki kiri arwah hancur hingga paras pinggul, manakala kaki kanan turut cedera.

“Arwah dalam keadaan parah, namun masih bernyawa ketika itu. Suami tidak putus-putus mengajar mengucap sebelum ambulans tiba di lokasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, hari ini.

Beliau berkata, ibunya disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), malam tadi.

“Pemergian arwah ibu mengingatkan perubahan pada dirinya yang banyak berdiam diri tiga hari sebelum kemalangan.

“Arwah sudah 20 tahun bekerja di kilang itu bersama suami, sejak akhir-akhir ini arwah lebih banyak berdiam diri berbanding hari kebiasaan. Saya cuma risau melihat keadaan adik, Puteri Najiha yang masih bersedih dan tidak boleh menerima kenyataan ibu sudah tiada kerana dia antara yang paling rapat malah kerap bersama ke mana mereka pergi,” katanya.

Dalam pada itu, Mira Nazira merayu pihak yang mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) supaya dapat membantunya melihat kejadian sebenar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja operator kilang menunggang skuter dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Sebaik tiba di lampu isyarat Bukit Belah, motosikal mangsa dipercayai terlanggar Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 32 tahun yang ketika itu sedang berhenti di lorong kanan kerana lampu isyarat merah.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di lorong kiri jalan dan pada sama datang sebuah lori dipandu lelaki berusia 41 tahun menggilis kakinya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi awam melihat kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07-4327704,” katanya.

Loading...
Terkini