comscore
Tumpuan :
Nasional

Arwah takut majlis bertunang ‘tinggal kenangan’ – Kakak 

IPOH: “Majlis pertunangan mereka bakal dilangsungkan pada 17 Disember ini, tetapi dia tidak membuat persiapan kerana bimbang hanya menjadi kenangan disebabkan sebelum ini pun pernah tak jadi bertunang dengan seseorang pada saat akhir.

Itu kata Nur Imanina Nasuha Nasua, 24, mengenai adiknya, Muhammad Nabil Zikry Nasuha Nasua, 23, yang maut dalam kemalangan apabila motosikal dinaiki dilanggar sebuah kereta di Kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, Bukit Mertajam, awal pagi semalam.

Seorang gadis dikenali sebagai Sabrina yang menaiki motosikal sama, turut maut di lokasi kejadian, dalam insiden itu.

“Walaupun majlis pertunangan Disember nanti, namun Sabrina sudah ‘dirisik’ keluarga kami. Cincin untuk majlis pertunangan pun sudah dibeli Nabil bersama cincin ‘merisik’ sebelum ini, malah ketika kemalangan itu pun arwah Sabrina sedang memakai cincin ‘merisik’ berkenaan.

“Mungkin disebabkan majlis ‘merisik’ yang lalu juga membuatkan Nabil tidak begitu teruja membuat persiapan majlis pertunangan dengan Sabrina nanti, selain takut ia menjadi kenangan sebagaimana dia pernah tak jadi bertunang dengan orang lain sebelum ini.

“Saya tanya Nabil minggu lepas kenapa tak persiapkan apa-apa lagi untuk majlis bertunang nanti, namun Nabil menjawab yang dia takut majlis itu nanti ‘tinggal kenangan’, dia takut perkara yang pernah dilaluinya (tak jadi bertunang) kembali berulang,” katanya ketika dihubungi.

Kata Nur Imanina lagi, jarak usia setahun antara dia dan Nabil membuatkan mereka dua beradik rapat malah dia dan suami yang menyewa rumah di Tambun, di sini tinggal serumah bersama Nabil yang bekerja di sebuah kedai pemasangan filem penapis haba (tinted) kenderaan di sini.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka hantaran termasuk yang diulang siar di akaun TikTok kepunyaan arwah adiknya yang banyak memaparkan mengenai kematian termasuk gambar kubur mutakhir ini adalah petanda jelas adiknya meninggalkan dunia buat selama-lamanya dalam waktu terdekat.

“Saya memang jarang tengok apa yang dia ‘repost’ (ulang siar) macam itu walaupun selepas kematiannya saya baru perasan mengenai itu, tetapi seminggu sebelum nahas memang dia ada juga ‘post’ (membuat hantaran) di status WhatsApp berkaitan taubat sebelum mati dan seumpamanya.

“Tetapi ketika itu saya fikir mungkin dia sekadar hendak memperingatkan diri sendiri. Tak sangka pula yang itu petanda yang dia memang betul-betul hendak ‘pergi’,” katanya.

Katanya, jenazah Muhammad Nabil Zikry selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, di sini, semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini