comscore
Tumpuan :
Nasional

ASEAN 2025 bakal libatkan GCC, China dan Arab – PM

Foto fail Reuters

Oleh: Hamdi Fahmi Muhamad Zaki & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: ASEAN 2025 yang akan dipengerusikan Malaysia mempunyai tarikan tersendiri kerana melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) plus China serta Negara Arab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan sebuah sejarah bagi ASEAN dalam meneroka kawasan baharu termasuk dunia arab dan mengukuh kerjasamanya dengan China.

“Ini pertama kali ASEAN akan menganjurkan persidangan 10 negara ASEAN dan GCC, termasuk Arab Saudi, UAE, Qatar, Bahrain dan Kuwait plus China.

“China juga akan bersama dan ini hanya berlaku pada tahun depan sebagai permulaan bagi Asean.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, tiga penekanan diberi tumpuan oleh Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN tahun depan, dalam usaha melonjak serta meningkatkan kekuatan ekonomi di rantau ini.

Ia termasuk transformasi digital menerusi perjanjian rangka kerja ekonomi digital ASEAN, perjanjian perdagangan bebas di rantau itu dan dialog bersama Kesatuan Eropah (EU) serta rangkaian tenaga grid ASEAN.

Selain itu, menjawab soalan tambahan sama ada ASEAN bercadang melonggarkan sempadan imigresen bagi melonjak potensinya, Anwar menjelaskan langkah sedemikian belum dapat dilakukan buat masa ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini