comscore
Tumpuan :
Nasional

Aset Dana 1MDB Berjumlah RM20.5 Bilion Dipulangkan Kepada Kerajaan Malaysia

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa berjaya memulangkan aset dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM20,530,433,626.97 kepada kerajaan Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pihaknya sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

Terbaharu pada 12 Nov lepas, Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd (SRC) Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah AS$864,813.27.

Sebelum ini, SPRM memberitahu kerajaan Singapura juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

“SPRM juga sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB,” katanya.

Pada 12 Mei lepas, Kementerian Kewangan memaklumkan kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana berkaitan 1MDB yang telah disita.

Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Jumlah di dalam Akaun Amanah berkenaan akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

Menurut Kementerian Kewangan, setakat ini kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC. Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan, faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).

Usaha pemulihan aset oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC. — BERNAMA

Loading...
Terkini