comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aset Raja Dadah Malaysia dianggarkan RM190 juta

KANGAR: Nilai aset seorang rakyat Malaysia digelar sebagai Raja Dadah yang ditahan di Laos pada 29 Disember lalu adalah dianggarkan sekitar RM190 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata pihaknya pernah menahan suspek berusia 41 tahun dari Perak itu Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) sebelum ini.

“Untuk makluman, kita pernah mengambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) ke atas dia malah kita juga pernah membuat rampasan (aset) suspek pada peringkat awal penahanannya sebelum ini.”

Sebahagiannya sudah pun kita lucutkan hak dan ada yang kita sudah pulangkan semula (kepada suspek) dan nilainya, jika tidak silap saya, dalam RM190 juta,” katanya.

Raja Dadah Malaysia yang ditahan di Laos pada 29 Disember lalu. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di IPK Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya belum lagi meneliti impak kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku terutama di sempadan Malaysia selepas tertangkapnya suspek di Laos itu namun pihaknya sentiasa mengambil tindakan menyeluruh ke atas aktiviti berkenaan.

“Malah, pada tahun ini, dengan kejayaan pembanterasan penyeludupan dadah di Perlis ini, kita akan lipat gandakan usaha kita untuk memastikan tidak ada lagi dadah yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran ke Malaysia.”

“Dalam masa yang sama juga, kita (Polis DiRaja Malaysia) akan biarkan kes ini selesai dahulu di Thailand baharulah kita akan melihat semula sama ada suspek ini akan diektradisi atau pun tidak. Buat masa ini, kita belum lagi ada perancangan terhadap langkah berkenaan,” katanya.

Kamarudin bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Mohamad Abdul Halim dalam sidang media di Kangar hari ini. FOTO: NSTP

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki di Thailand ditahan di Laos, ketika sedang bersembunyi di negara berkenaan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

Pihak berkuasa Thailand melaporkan suspek menggunakan negara itu sebagai lokasi aktiviti pengubahan wang haram dan sebagai tempat transit untuk kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia, Taiwan dan Australia.

Susulan penahanan suspek, pihak berkuasa Thailand merampas aset miliknya seperti sebidang tanah berserta bangunan, dua unit kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga buah motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Jumlah anggaran sitaan aset yang dirampas bernilai 85 juta bath (RM11 juta).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan suspek yang turut mempunyai rangkaian pengedaran dadah di Thailand disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas, membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

Tindakan menyenarai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram (kg) kristal dadah jenis methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.

Dalam kes berasingan pada September 2019, polis merampas 12 tan kokain dicampur arang batu bernilai RM2.4 bilion selepas merampas tiga kontena di Butterworth.

Media melaporkan siasatan mendapati dalang utama kes itu menggunakan dua syarikat senaraian awam untuk memudahkan aktivitinya dan mempunyai aset bernilai RM336 juta yang kemudiannya disita pihak berkuasa.

Loading...
Terkini