KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi dengan penyewa premis perniagaannya yang melanggar syarat kontrak termasuk tidak membuka kedai dan menjadikan lot sewa sebagai stor.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau sudah mengarahkan Pengarah MARA negeri dan daerah untuk mengambil tindakan segera terhadap penyewa premis yang culas.
“Hari ini saya sendiri terjah Plaza MARA di bandar Kluang di Johor yang ternyata banyak lot ditutup dan keadaan bangunan suram hingga dilihat tidak menarik kepada masyarakat.
“Saya akan jadikan agenda ‘mewajahkan’ kembali premis perniagaan MARA sebagai keutamaan, bukan sahaja memastikan imej baharu yang segar dan menarik, tetapi buka peluang kepada usahawan baharu yang mahu menapak dan membangunkan perniagaan mereka,” katanya melalui Facebook semalam.
Beliau sudah mengeluarkan arahan kepada semua MARA negeri sebelum ini supaya mengeluarkan notis berkaitan kepada penyewa yang melanggar syarat kontrak.
Syarat itu termasuk tidak membuka kedai, menjadikan lot sewa sebagai stor sehingga menyebabkan premis perniagaan MARA seperti Arked, Plaza MARA dan lain-lain dilihat sendu, suram dan tidak bermaya.
Katanya, beliau menerima banyak rungutan daripada orang ramai berkaitan keadaan kompleks niaga MARA yang suram itu.
Sebelum ini media melaporkan, premis MARA yang dijadikan stor atau tidak dioperasikan seperti dalam perjanjian akan diberi notis dua bulan untuk dikosongkan.
Katanya, pendekatan itu antara langkah drastik menerusi Program Transformasi Premis Komersial MARA yang diumumkan baru-baru ini, bagi memastikan premis berkenaan terus berfungsi membantu usahawan Bumiputera menjana pendapatan.
Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, sebanyak 7,289 premis komersial milik MARA akan berwajah baharu menerusi program Transformasi Premis MARA dengan peruntukan RM16 juta tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.