comscore
Tumpuan :
Nasional

Atas faktor keselamatan, Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram mungkin diroboh

Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram mungkin dirobohkan atas faktor keselamatan.- Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan keperluan untuk meroboh Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram di sini, atas faktor keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan polis akan menyiasat, malah sedia mempertimbangkan tindakan itu sekiranya perlu merobohkan madrasah.

Beliau berkata, madrasah yang terletak di tanah persendirian berhampiran dengan kediaman suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu itu ditutup sepenuhnya pada 2001.

Menurutnya, sejak madrasah itu ditutup lebih 20 tahun lalu, pihak MAIJ tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat itu.

“Semakan dibuat dapati (Madrasah Luqmanul Hakim) tidak beroperasi sejak 2001 dan memang tiada permohonan untuk memperbaharui pendaftaran madrasah.

“Saya minta Timbalan Pengarah Pengurusan MAIJ untuk membuat perbincangan dengan polis dan pasukan keselamatan untuk melihat keadaan bangunan terbabit.

“Hasil semakan, kita boleh mengisytiharkan bangunan itu tiada lagi kegiatan dan kebimbangan masyarakat yang mendakwa bangunan terbabit masih digunakan itu, saya boleh sahkan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media kepada selepas menyantuni komuniti etnik Rohingya di kawasan Mukim Plentong di sini, petang semalam.

Jumaat lalu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan berdarah di balai polis itu yang dilaporkan berlaku pada 2.30 pagi.

Suspek serangan yang berusia 21 tahun itu turut maut dalam kejadian itu, manakala seorang lagi anggota polis balai polis terbabit, Koperal Mohd Hasif Roslan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Keadaan Mohd Hasif kini kembali stabil dan dipindahkan dari wad unit rawatan rapi (ICU) kepada wad biasa.

Madrasah berkenaan terletak di tanah persendirian dan kediaman keluarga suspek yang berada dalam kawasan berpagar dan orang awam tidak dibenarkan masuk.

Madrasah itu difahamkan pernah menjadi ‘medan usrah’ ahli kumpulan pengganas sekitar 1996 dan 1997.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, sejak insiden serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram itu, beliau mendapat banyak aduan masyarakat setempat yang menyuarakan kebimbangan serta bertanyakan tindakan yang pihak berkuasa akan ambil terhadap premis madrasah itu.

Menurutnya, pihak kerajaan boleh mengambil tindakan sehingga ke tahap untuk merobohkan madrasah terbabit kerana ia membabitkan soal keselamatan serta kebimbangan masyarakat pusat itu digunakan oleh kumpulan tidak bertanggungjawab.

“Ini membabitkan kebimbangan masyarakat, saya berasa pihak berkuasa akan lebih berautoriti untuk menentukannya, sekiranya perlu dirobohkan, saya kira kerajaan boleh mengambil tindakan ke tahap itu,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa terutamanya kepada Pejabat Tanah dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melihat kepada keperluan aspek kacau ganggu.

“Dan semua kacau ganggu yang berlaku, boleh menyebabkan kerajaan menggunakan kuasa-kuasa tertentu bagi maksud pemulihan kacau ganggu itu.

“(Tindakan merobohkan) Mungkin adalah solusi terakhir selepas semua semakan dapat kita selesaikan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini