comscore
Tumpuan :
Nasional

Atasi penyeludupan diesel, pastikan pengurusan subsidi lebih cekap -PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, subsidi tidak dihapuskan, sebaliknya tindakan dilakukan ketika ini bertujuan memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat selayaknya.

“Kerajaan masih perlu menanggung kira-kira RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung.

“Tujuan utama dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter di semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung, bermula jam 12 tengah malam pada 10 Jun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dilapor berkata harga diesel tanpa subsidi itu sama ada berubah atau tidak, akan diumumkan setiap Rabu seperti amalan semasa.

Serentak penyasaran subsidi diesel itu juga, katanya, seramai 30,000 kumpulan awal pemilik kenderaan diesel persendirian akan menerima bantuan bulanan RM200 menerusi program BUDI MADANI mulai hari sama.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak 6,441,118 liter diesel, dianggarkan bernilai RM14,208,824 dirampas, sehingga 31 Disember lalu.

Rampasan itu, katanya, dibuat menerusi Ops Tiris digerakkan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 1 Mac 2023.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Ops Tiris itu bertujuan membanteras penyelewengan diesel bersubsidi ketika ia memanfaatkan golongan tidak layak.

“Rentetan perkembangan positif ini, Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop diperluas merangkumi barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg satu kilogram (kg), petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

“Sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan tertinggi yang diseludup dan diseleweng sehingga Jumaat lalu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini