comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Atasi segera gangguan pada laman MySPR’ – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ditemui media selepas mengundi bagi Parlimen Permatang Pauh di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, Kubang Semang di Pulau Pinang. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperbetulkan segera masalah yang dialami laman MySPR sehingga menyebabkan gangguan serta kelewatan di beberapa pusat pengundian.

Pengerusi Pakatan harapan (PH) itu berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada rakyat berkaitan kegagalan untuk mengakses laman SPR itu bagi menyemak tempat mengundi mereka sejak malam tadi.

“Kepincangan ini amat mendukacitakan kerana SPR seharusnya melakukan segala persediaan untuk memastikan kelancaran proses pengundian.

“Justeru, saya desak SPR untuk segera memperbetul masalah ini,” katanya melalui Twitter hari ini.

Dalam pada Anwar melalui rakaman suara dimuat naik memaklumkan maklumat diterima pihaknya mengatakan gangguan pada laman MySPR itu di peringkat awal berpunca daripada masalah akses internet.

“Saya difahamkan (masalah ini) dah dibetulkan…dalam sejam itu memang menimbulkan banyak kesulitan.

“Saya lihat beberapa saluran seperti di Semenyih memang terlalu lama, dua jam kena ‘queue’ (beratur) sekadar nak pergi mengundi,” katanya.

Terdahulu, ramai warganet mengadu di media sosial selepas laman web MySPR di mana pengundi boleh menyemak butiran seperti pusat mengundi dan aliran mereka, gagal berfungsi.-Berita Harian

Loading...
Terkini