comscore
Tumpuan :
Nasional

ATM atur gerak pegawai, anggota markas 7 Briged bantu pasca banjir di Johor

Oleh: Azwaliza Azman

KOTA TINGGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak 60 pegawai dan anggota markas 7 Briged di Johor  bagi membantu pasca banjir di negeri itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia membabitkan penugasan 5 pegawai dan 55 anggota lain-lain pangkat di kawasan terjejas banjir, terutama di Kota Tinggi.

Ia dimaklumkan beliau dalam sidang media selepas tinjauan dan penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gembut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.

“ATM akan sentiasa membantu dengan tumpuan di kawasan yang ditentukan. Kehadiran mereka adalah bagi memantau dan membantu keperluan di kawasan terjejas, terutamanya membabitkan mangsa banjir selain menjalankan kerja pembersihan”.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Tinggi menyeru badan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam membantu kerja pembersihan pasca banjir bagi meringankan beban mangsa yang terlibat, selain memuji pengurusan banjir pada tahun ini yang dilihat lancar dan teratur berbanding pada tahun sebelumnya.

“Pada tahun lalu, kita mengalami banjir sebanyak dua kali dan selepas banjir pertama berlaku kita tidak sangka banjir yang kedua akan berlaku dan itu menyebabkan pelbagai isu seperti kelewatan khemah untuk mangsa banjir, makanan dan kelengkapan lain terjadi.

“Pada kali ini saya lihat ia lebih teratur iaitu ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi dijadikan panduan sebelum arahan berpindah masuk PPS (pusat pemindahan sementara) dikeluarkan,” katanya.

Semalam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jaabar@Jaafar mengumumkan pasca banjir di daerah itu telah bermula dan dijangka berakhir 16 Januari.

Loading...
Terkini