comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ATM bantu uruskan jenazah mangsa banjir

KUALA BERANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu menguruskan jenazah wanita warga emas selepas rumahnya dinaiki air lebih satu meter di Kampung Bukit Tadok, di sini.

Kelthom Mat, 84, meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi tadi.

Menurut anaknya, Mat Sudin Mustafa, 63, memandangkan kawasan rumah ditengelami banjir dia terpaksa meminta bantuan penghulu untuk menguruskan jenazah ibunya.

Susulan itu pihak pengurusan kampung meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika itu melakukan operasi membantu mangsa banjir di kampung berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan bantuan ATM proses membawa keluar jenazah arwah ibu ke Masjid Kampung Bukit Tadok, untuk dimandi dan dikafankan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Jenazah Kelthom dibawa keluar kira-kira jam 2.15 petang dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tadok, selepas solat asar.

Katanya, hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan rumahnya ditengelami banjir dan saban tahun sejak 52 tahun lalu rutin itu perlu dilalui.

Sementara itu Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para) Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata pihaknya memberikan bantuan memindahkan jenazah warga emas dari rumah ke tanah perkuburan di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu.

“Atur gerak ini melibatkan tiga pegawai dan 25 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mejar Shah Hadi Shah Budin termasuk aset perairan dan kenderaan bagi membantu memindahkan mangsa di kawasan terjejas ke PPS,” katanya.

Loading...
Terkini