comscore
Tumpuan :
Nasional

ATM Perlu Kewangan Mencukupi Untuk Perkukuh Aset Pertahanan

Foto: BH

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan harapan tinggi kerajaan dapat menyediakan peruntukan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam Belanjawan 2023, khusus untuk memperkukuh aset pertahanan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, jumlah itu munasabah untuk negara membuat persediaan berdepan sebarang ancaman, selain menambah baik prasarana persenjataan, khususnya industri pertahanan tempatan pada masa akan datang.

“Kalau kita lihat geostrategik pada masa kini, banyak perkara yang tidak menentu. Kita perlu menambah baik dengan meninggikan tahap kesiapsiagaan kita dan keupayaan kita, contohnya seperti di Laut China Selatan.

“Laut China Selatan, kalau kita lihat daripada data, kita ada KDNK dalam 30 peratus yang datangnya dari situ. Kalau kita tidak dapat menentukan kestabilan dan mempertahankan kawasan itu, kesannya kepentingan negara akan tergugat.

“Adalah penting untuk kita ada keupayaan mencukupi supaya kawasan yang patut kita lindungi dapat diberi perlindungan dan dipertahan sebaik mungkin,” katanya dalam wawancara khas bersama media sempena Sambutan Hari ATM ke-89 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Bagi menjamin kemampanan industri pertahanan tempatan pula, Affendi berkata, pelaburan mencukupi diperlukan bagi memastikan hasil yang optimum dapat dikembalikan kepada negara.

“Kita sedang membangunkan industri pertahan dan untuk industri tempatan dapat membangun serta ditambah keupayaannya, ia memerlukan sumber kewangan mencukupi.

“Indonesia pada masa kini, (tentera) darat dan udara mereka sudah mencapai tahap dibanggakan. Ini contoh supaya kita lebih faham mengapa kita perlukan (bajet) 1.5 peratus ini. Pada masa sama, isu geostrategik dan juga keselamatan di Laut Cina Selatan.

“Kita perlu memberi satu pelaburan yang tinggi supaya kita dapat mempertahankan kedaulatan kita dan kepentingan negara,” katanya.

Menyentuh kesiapsiagaan pasukan untuk berdepan banjir besar yang diramal melanda November nanti, Affendi berkata, ATM sentisa bersedia turun padang dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa terjejas.

“Kita ada Ops Murni dan dalam pengurusan bencana alam, ditadbir oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Tugas tentera adalah untuk membantu, yang akan mentadbir adalah pegawai daerah.

“Orang selalu salah anggap, ingatkan pengurusannya adalah kita (ATM). Kita agensi yang membantu pegawai daerah untuk membuat operasi menyelamat dan pembaikan. Itu yang kita perlu faham.

“Dalam konteks ini, ATM bersedia seperti mana pada tahun lalu, di mana ada pusat operasi yang dibuka dan kita ada di situ,” katanya.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini