Tumpuan :
Nasional

Audio ADUN didakwa bincang rasuah: SPRM belum terima aduan rasmi – Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada menerima sebarang aduan rasmi, setakat ini, daripada mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai rakaman audio Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikata membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia termasuk daripada peguam kepada pemberi maklumat yang bertemu pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.

“Namun ketika pertemuan berkenaan, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat di mana beberapa orang didengar sedang berbincang mengenai wang.

“Dia tidak memaklumkan siapa ADUN yang terbabit dan bersedia untuk memberikan sejumlah bukti jika SPRM menandatangani persetujuan menyatakan anak guamnya tidak akan diletakkan bawah siasatan,” katanya, di sini.

Azam berkata, pegawai SPRM terbabit bagaimanapun tidak setuju untuk menandatangani persetujuan itu kerana ia bukan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi SPRM.

Beliau berkata, pada pertemuan itu juga, peguam berkenaan menyatakan beliau tidak mempercayai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Dia yakin akta itu tidak memadai dan tidak memberikan sebarang jaminan yang anak guamnya akan dilindungi secara wajar.

“SPRM tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis terhadap mana-mana individu itu tidak akan disiasat atau didakwa sekiranya mereka memberi maklumat dan terbabit dalam perlakuan rasuah,” katanya.

Azam berkata, tindakan SPRM adalah berlandaskan undang-undang supaya mana-mana laporan ditangani secara saksama serta profesional, dan sebarang dakwaan salah laku akan disiasat secara terperinci tanpa memihak kepada mana-mana individu.

Justeru, beliau menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyatakan individu yang memiliki maklumat perlu mendedahkan perlakuan salah dahulu, seperti ditakrifkan undang-undang, sebelum proses perlindungan dapat dimulakan,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal dalam talian melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini