comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Audit semua pemegang lesen beras, padi – Mat Sabu

BACHOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, KPKM akan menjalankan audit ke atas semua pemegang lesen beras dan padi di dalam negara.  Menterinya, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata ini termasuk membabitkan 39,000 lesen yang dikeluarkan kepada pengilang dan pemborong.

Katanya, pihak KPKM akan bertindak berdasarkan fakta dan dengan membabitkan pihak Kawalselia Padi dan Beras, KPB sebagai agensi bertanggungjawab.

“Memang perlu diaudit. Saya juga ada buat program turun padang secara mengejut. Kita tak beritahu mereka (pengilang atau pemborong),” katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan kerja ke syarikat Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seneng, Jelawat di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu bagi menjaga kedudukan beras dan tiada pihak yang melanggar undang-undang.

Terdahulu KPKM menafikan wujud kartel padi atau mafia yang didakwa terbabit dalam penentuan dan harga beras dan benih padi. KPKM memaklumkan industri padi dan beras negara dikawal selia KPB melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu semasa melawat kawasan ternakan lembu wagyu Syarikat Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seneng, Jelawat di Bachok, Kelantan hari ini. FOTO: NSTP

Dalam perkembangan lain, Mohammad melawat kawasan ternakan lembu wagyu yang dijalankan Kelfarm sejak Jun 2022.  Mohamad berkata kawasan itu yang kini menternak 35 ekor lembu wagyu berpotensi dikembangkan sebagai salah satu ternakan berpendapatan tinggi penduduk kampung.

“Saya gembira melihat penglibatan petani tempatan dalam bidang ini yang mencecah harga RM800 sekilogram yang mana terkenal di Kobe, Jepun dan Australia,” ujarnya.

Difahamkan, ternakan wagyu mampu memberi pulangan lumayan di mana harganya berkali ganda berbanding lembu kampung yang biasanya dijual RM4,000 ke RM6,000 manakala lembu wagyu sekitar RM20,000 hingga RM30,000 dengan cara penjagaan yang sama.

Mohamad berkata KPKM juga sedang meneliti kos kerosakan tanaman dan pertanian di negeri terbabit banjir seperti Johor dan Pahang.

Loading...
Terkini