comscore
Tumpuan :
Nasional

Avelyn ditemui selamat dalam hutan

Avelyn Alesha Jude – Foto ihsan pembaca

PENAMPANG: Selepas lebih enam jam disedari hilang, kanak-kanak perempuan autisme ditemui selamat, malam tadi. Avelyn Alesha Jude, 6, ditemui di kawasan hutan pada jam 10.20 malam, kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Kampung Sugud.

Bapa saudara Avelyn Alesha, Mestan Eden berkata, anak saudaranya ditemui oleh orang kampung yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak petang semalam.

“Adik saya (ibu kepada Avelyn) memberitahu bahawa mereka bersembahyang dan berdoa sebelum mencari Avelyn.

“Mereka turut bunyikan paluan gong ketika mencari Avelyn,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur Avelyn dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“Syukur usaha mencari dipermudahkan dan kini Avelyn dirawat di Hospital Queen Elizabeth… terima kasih kepada  semua yang mendoakan sehingga baby Avelyn ditemui dalam keadaan selamat.

“Terima kasih juga kepada bomba, polis dan orang kampung yang turut serta dalam misi SAR Avelyn,” katanya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ishak Amran berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung.

“Mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari rumah keluarganya di kawasan hutan oleh tiga remaja sebelum memaklumkan kepada pasukan keselamatan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, Avelyn Alesha disedari hilang oleh ibunya di rumah mereka di Kampung Sugud.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini