comscore
Tumpuan :
Nasional

Awak di mana? Ibu sedang cari awak

Che’ah menunjukkan gambar lama anak lelakinya, Muhammad Zain Salleh (dalam foto paling kanan) dan anak perempuannya (dalam foto kedua, duduk di kerusi) semasa hadir ke Pejabat NSTP Cawangan Ipoh. FOTO: NSTP

IPOH: Hanya gambar menjadi tanda ingatan buat seorang wanita untuk mengubati kerinduan terhadap dua orang anaknya yang terpisah lebih 55 tahun lalu.

Biarpun terpisah dalam tempoh lama, Che’ah Awang, 86, masih berusaha menjejaki anak lelakinya, Muhammad Zain Salleh yang kini sudah berusia 67 tahun.

Bagaimanapun, dia gagal mengingati nama dan umur sebenar anak perempuannya berikutan dibawa oleh ibu mertua sejurus dilahirkan.

Hanya gambar lama jadi petunjuk Che’ah mencari dua anaknya yang terpisah lebih 55 tahun lalu. Foto pertama, Muhammad Zain Salleh bersama ibu angkat kepada Che’ah. Foto kedua, anak perempuan Che’ah bersama Abu Bakar (menantu Che’ah). FOTO: NSTP

Katanya, kejadian berlaku selepas dia dan suami bercerai.

Berikutan itu, anak lelakinya dijaga oleh ibu angkatnya manakala anak perempuannya dijaga oleh ibu mertua.

Tambahnya, sejak kejadian itu dia tidak pernah lagi berjumpa anak-anaknya.

Hanya gambar lama jadi petunjuk Che’ah mencari dua anaknya yang terpisah lebih 55 tahun lalu. Dari kiri: Muhammad Zain Salleh (anak Che’ah) dan Che’ah (semasa muda). FOTO: NSTP

“Saya berpindah ke Singapura dan kemudian England pada 1973 untuk bekerja. Sewaktu di sana, anak lelaki saya kirimkan gambar mereka dua beradik.”

“Pada tahun sama, anak lelaki saya hubungi melalui panggilan telefon tanyakan khabar dan minta restu berkahwin. Dia juga ada beritahu bahawa adiknya rindukan saya dan mahu berjumpa, bagaimana pun saya kehilangan alamat dan nombor telefon yang saya catat pada kertas,” katanya ketika ditemui di Pejabat New Straits Times Press (NSTP) Cawangan Ipoh, di sini, hari ini.

Che’ah berkata dia mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada 2012 dan menetap di Aulong, Taiping.

Sejak itu, dia terus berharap kisah pencariannya selama lebih 55 tahun ini sampai ke pengetahuan kedua-dua anaknya atau ahli keluarga terdekat.

“Saya cuma ada gambar hitam putih mereka sebagai petunjuk. Saya mahu jumpa dan peluk mereka sebelum saya tutup mata selama-lamanya,” katanya sebak.

Menurutnya, dia pernah dihubungi beberapa individu pada tahun lalu, mendakwa mengenali kedua-dua anaknya.

“Setiap individu enggan memberitahu keberadaan anak saya, sebaliknya meminta saya memindahkan wang terlebih dahulu ke akaun bank mereka. Saya tidak percaya dan yakin mereka cuba ambil kesempatan untuk memperdaya saya,” katanya.

Pemandu teksi, Benjamin tidak mengambil sebarang bayaran daripada Che’ah sejak 11 tahun lalu, di samping turut membantu wanita warga emas terbabit mencari dua anaknya yang terpisah sejak kecil. FOTO: NSTP

Ketika ini, hampir semua urusan Che’ah untuk mencari dua anaknya dibantu oleh pemandu teksi, A Benjamin.

Menurut Benjamin, dia pertama kali bertemu Che’ah di Terminal Bas Taiping sewaktu wanita itu pulang semula ke Malaysia, 11 tahun lalu.

“Sejak dari itu, dia akan menelefon saya untuk meminta bantuan pergi ke beberapa pejabat agensi media tempatan bagi membuat hebahan,” katanya.

Tambah Benjamin, sebelum ini, kisah Che’ah pernah disiarkan oleh akhbar tempatan berbahasa Inggeris, tetapi tiada sebarang maklum balas positif diterima.

“Saya kesian pada Che’ah, jadi saya tidak ambil sebarang bayaran daripadanya sepanjang 11 tahun ini,” kata pesara tentera darat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini