comscore
Tumpuan :
Nasional

Awas! Ada ‘Mata’ Sedang Memerhati Anda – JPJ

Awas pengguna jalan yang gemar menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau sering memotong barisan ketika kesesakan, aksi anda mungkin dirakam ‘mata’ yang memerhati.

Ini kerana, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mengguna pakai kaedah baharu melalui kamera aksi pengawasan untuk merakam kesalahan dilakukan pengguna jalan raya, khususnya sepanjang musim Aidilfitri ini.

Berita Harian melaporkan selain dua kesalahan itu, pemantauan turut dilakukan terhadap pemandu yang melanggar lampu isyarat, memotong di lorong kiri atau garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar serta memandu secara berterusan di lorong kanan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pemantauan akan dilakukan anggota Unit Penguatkuasaan Bermotosikal sebagai satu kaedah memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.

Bentuk penguatkuasaan JPJ bukan lagi sekatan jalan raya yang dibimbangi akan menambah kesesakan dan rasa tidak selesa kepada mereka yang ingin menyambut perayaan, tetapi lebih kepada pemeriksaan secara pendigitalan.

“Pemantauan akan dilakukan anggota dilengkapi kamera aksi pengawasan jenis GoPro Max 360 dan merakam kesalahan pemandu di lapangan, yang mana foto dirakam dihantar ke bilik gerakan dan notis saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada program ‘Kick Off’ Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan di sini, malam tadi.

Zailani berkata, pemantauan lebih tertumpu di kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti sering berlakunya kemalangan.

Selain itu, beliau berkata, orang awam juga boleh menyalurkan aduan mengenai sebarang kesalahan lalu lintas kepada JPJ melalui portal e-aduan dan pemberi maklumat akan menerima insentif sekiranya siasatan mendapati kesalahan benar-benar berlaku dan tindakan lanjut sudah diambil.

Mengenai operasi berkenaan, Zailani berkata 1,137 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 279 kenderaan dikenakan tindakan selain 508 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

Loading...
Terkini