comscore
Tumpuan :
Nasional

Awas! Siapa pemilik topi keledar ‘Arai’ ciplak?

Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa topi keledar ‘Arai’ ciplak dalam satu serbuan di sebuah premis di Bukit Mertajam, hari ini. Foto ihsan KPDN Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita 268 unit topi keledar kononnya berjenama ‘Arai’ yang popular di kalangan penggemar motosikal dalam satu serbuan di sebuah premis dekat sini, hari ini.

Ia dianggap satu bentuk penipuan dan mampu merisikokan penggunanya.

Serbuan dijalankan bersama wakil pemilik hak cipta berkenaan sebelum menemui kesemua barangan aksesori terbabit yang bernilai RM70,240.

Pengarah KPDN Negeri Pulau Pinang, S Jegan berkata pemeriksaan yang dijalankan mendapati topi keledar itu berjenama TSR namun mengandungi tanda karya seni Arai membabitkan pelbagai model antaranya Nakano Shukiken Silver, Black Samurai dan Oriental Blue.

“Tindakan itu didapati satu kesalahan yang melanggar Akta Hak Cipta 1987,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jegan berkata KPDN negeri memberi amaran keras terhadap mana-mana individu dan yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi apa-apa kesalahan yang berikutnya didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Tegasnya, masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini