comscore
Tumpuan :
Nasional

Azalina dilantik Presiden IACA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dipilih sebagai Presiden Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA).- FOTO IHSAN PENERANGAN

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dipilih sebagai Presiden Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA), menandakan kali pertama Malaysia memegang jawatan presiden badan antirasuah global itu.

Kementerian Luar Malaysia, dalam satu kenyataan menyifatkan pemilihan sebulat suara Azalina pada Perhimpunan Sesi ke-13 IACA di Vienna pada Rabu sebagai satu pencapaian bersejarah yang mengukuhkan komitmen negara dalam usaha memerangi rasuah.

Kementerian itu merakamkan penghargaan di atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan oleh anggota IACA di atas pemilihan Azalina, sambil menambah ia mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah serta keyakinan peribadi terhadap kepimpinan Azalina dalam pembaharuan undang-undang dan tadbir urus.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama erat dengan IACA dan rakan perkongsian strategik dalam memacu agenda antirasuah dan menegakkan prinsip keadilan dan tatakelola yang baik di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sejak IACA ditubuhkan pada 2011 di Austria, ia berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah dan menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya kalangan agensi pencegahan rasuah.

Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan aktif dalam IACA dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Perhimpunan Akademi Antirasuah Antarabangsa sebanyak empat kali sebelum ini.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini