comscore
Tumpuan :
Nasional

Azam Baki Dahului Penerima Darjah Kebesaran Tertinggi Sabah

FOTO: Berita Harian

KOTA KINABALU: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mendahului senarai 1,407 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah sempena Sambutan Harijadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, esok.

Azam menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Selain beliau, turut tersenarai menerima SPDK ialah bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Ilyas Ibrahim; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; bekas Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Seri Lim Haw Kuang dan bekas menteri Kabinet Sabah era Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA), Datuk Mohammad Noor Mansoor.

Sementara itu, seramai 81 orang menerima Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), iaitu darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah isteri Ketua Menteri, Datin Juliah Salag; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa; Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Jasnih Daya; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Flovia Ng; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan; Perumahan negeri, Mohd Hamsan Awang Supain dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Andi Muhammaf Suryady Bandy dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Harun Durabi.

Turut menerima PGDK ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam; ADUN Sebatik, Hasan A Gani Pg Amir; ADUN Balung, Hamild Awang; ADUN Pintasan, Fairuz Renddan; ADUN Tempasuk, Mohd Arsad Bistari dan ADUN Dilantik, Jafari Waliam.

Selebihnya ialah bekas Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof Madya Dr Ramzah Dambul; Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof; Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Tah Nia Jaman; bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Yap Yin Hin; Pengerusi Yayaaan Nur Jauhar, Al-Hambra Tun Juhar dan Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Senator Noraini Idris.

Sementara itu, seramai 131 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 246 menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 319 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 393 menerima Bintang Kinabalu (BK), sembilan orang penerima Jaksa Pendamai (JP) dan 222 menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).

Upacara pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah akan berlangsung di Istana Seri Kinabalu selepas Istiadat Perbarisan sempena Harijadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah di Padang Merdeka, di sini, pagi esok. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini