comscore
Tumpuan :
Nasional

Azam Baki dilantik semula sebagai KP SPRM untuk tempoh setahun

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh satu tahun.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, lantikan semula itu berkuat kuasa Ahad ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024,” katanya.

Ini adalah kali kedua Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mana sebelum ini tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan selama setahun pada tahun lalu.

Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984.

Jawatan pertama Azam di badan itu adalah penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini