comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Azam jumpa Loke dalam masa terdekat, perjelas isu salah laku kakitangan MOT

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam masa terdekat, berhubung isu dibangkitkan beliau iaitu laporan salah laku kakitangan kementerian berkenaan serta aduan SPRM yang tidak diendahkan.

Menurut Azam, beliau bersedia untuk menjelaskan perkara itu secara terperinci ketika bertemu Loke.

“Laporan itu adalah berhubung cadangan SPRM berkaitan salah laku pegawai kerajaan sesuatu jabatan atau kementerian. Jadi yang saya keluarkan itu lebih 500 (laporan) statistik adalah sepanjang tahun-tahun sebelumnya, bila laporan itu tidak diambil tindakan dengan serius oleh kebanyakan jabatan.

“Itu yang saya tegur. Jadi Kementerian Pengangkutan adalah di antara yang terbabit, jadi saya bersedia berjumpa menteri berkenaan untuk menjelaskan isu itu,” katanya ketika ditemui media di Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

Azam berkata, setakat ini hanya Menteri Pengangkutan yang menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan beliau berhubung isu itu.

Terdahulu, New Straits Times melaporkan, pendedahan Azam mengenai ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun suruhanjaya itu mengesyorkan tindakan diambil.

Malah kata beliau, 553 laporan salah laku yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu masih belum diambil tindakan oleh ketua jabatan dengan laporan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 125 kes, diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Azam menegaskan, walaupun pekeliling dikeluarkan kepada semua ketua jabatan berhubung perkara itu, ramai yang memilih untuk mengabaikannya.

Susulan pendedahan itu, Loke sebelum ini dilaporkan berkata, beliau  memandang serius isu dibangkitkan Azam dan akan bertemu SPRM untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Loading...
Terkini