comscore
Tumpuan :
Nasional

Azerbaijan mahu Malaysia jadi hab pendidikan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Azerbaijan meletakkan harapan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dalam usaha menghantar lebih ramai pelajarnya ke negara ini bagi menyambung pengajian.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan Azerbaijan, Emin Amrullayev kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam mesyuarat dua hala di The Education World Forum (EWF) 2024 di London, United Kingdom.

Menurut Zambry, perjumpaan beliau bersama rakan sejawatan itu membolehkan mereka berbincang mengenai kerjasama yang dapat dibentuk antara kedua-dua negara.

“Azerbaijan juga dalam usaha membangunkan semula pendidikan tinggi mereka di kawasan Karabakh dan mereka turut menyatakan harapan sekiranya Malaysia dapat turut membantu dan berkolaborasi dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, jelasnya, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Asia Tengah baru-baru ini juga telah membuka ruang untuk negara-negara lain di sekitar dalam bekerjasama dengan Malaysia menerusi pelbagai bidang.

Kerjasama tersebut bersandarkan keyakinan dan kualiti yang dibawa oleh delegasi Kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, dalam perjumpaan bersama Menteri Pendidikan dan Sains Tarjikistan, Nuriddin Said, beliau menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menaik taraf bidang pendidikan mereka.

Pada masa sama, program pertukaran pelajar Tarjikistan akan diteruskan yang mana jumlah pelajar negara terbabit kini lebih 200 orang di Malaysia.

“Dalam pertemuan saya dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Akio Fujiwara, beliau menyatakan kesediaan negara itu untuk berkongsi pengalaman dalam perihal ‘Programme for International Student Assessment’ (PISA).

“Kami juga berbincang untuk melihat dan memartabatkan semula kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kolaborasi antara institusi Malaysia dan Jepun,” katanya.

Selain itu, Zambry memaklumkan, pertemuan beliau dengan pihak Microsoft menjurus kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang mana peluncuran Malaysia AI Nexus pada 10 Mei lalu mendorong syarikat gergasi teknologi tersebut untuk terus bekerjasama secara aktif dengan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kerjasama pendidikan antara United Kingdom dan Malaysia pula terus diperkukuhkan melalui l Konsortium Universiti UK-Malaysia (UK-MUC) dengan pelbagai program peringkat tinggi direncanakan.

“EWF sememangnya mengumpulkan ramai Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi yang membolehkan perkongsian antara negara bagi menjadikan pendidikan sebagai wadah utama untuk pembangunan masyarakat dan negara.

“Pengantarabangsaan Malaysia dalam pendidikan tinggi di peringkat global ini semakin mendapat perhatian daripada negara lain dan akan terus diperkasakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini