comscore
Tumpuan :
Nasional

Azmin dipanggil ke IPD untuk beri keterangan berhubung isu PKNS

ADUN Hulu Kelang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor, Azmin Ali. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor berkata, pihaknya menerima satu Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah pada 7 Mei lalu susulan kenyataannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lalu mengenai pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Katanya, tindakan mengeluarkan notis berkenaan secara jelas melanggar perundangan dan ia adalah cubaan bagi menakutkan dirinya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ADUN dan Ketua Pembangkang.

“Susulan itu, saya sudah mengarahkan peguam untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk Semakan Kehakiman bagi menyemak tindakan atau keputusan pihak polis mengeluarkan notis berkenaan.

“Saya juga menghantar surat kepada polis supaya dapat tangguhkan atau gantung tindakan memanggil saya bagi memberi keterangan berkaitan isu itu kerana prosiding mahkamah masih belum selesai.

“Bagi menghormati proses undang-undang, mereka (polis) sewajarnya menggantung sebarang arahan kerana ia jelas melanggar peruntukan sedia ada,” katanya dalam sidang media khas, semalam.

Bagaimanapun, Azmin berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada polis berkaitan isu penangguhan itu.

Sebelum ini, Azmin dalam sidang DUN dilaporkan meminta kerajaan Negeri Selangor untuk menjelaskan tindakan PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Azmin turut memetik laporan daripada akhbar perniagaan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah Tropicana Corporation Bhd memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKNS, Datuk Seri Amirudin Shari, menepis dakwaan bahawa prestasi kewangan PKNS berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kedudukan kewangan PKNS ketika ini adalah baik, bahkan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini