comscore
Tumpuan :
Nasional

Azmir Saifuddin dilantik CEO FINAS baharu

Azmir (kanan) menerima surat perlantikan sebagai CEO FINAS baharu daripada Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman. – Foto: Ihsan FINAS

KUALA LUMPUR: Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baharu.

Ia bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok sehingga 31 Oktober 2025.

Mengumumkan berita itu menerusi kenyataan media, FINAS menyatakan Azmir adalah individu yang memiliki pengalaman dan berkelulusan Ijazah Pengkomputeran daripada Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom.

“Beliau memulakan kerjaya di Bahagian Kreatif Multimedia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Base FX.

“Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam industri kreatif, FINAS yakin Azmir mampu menggalas serta melaksanakan tanggungjawab untuk memacu industri filem Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Azmir pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah FINAS antara Januari 2017 hingga 2019.

Terdahulu, FINAS mengumumkan kontrak Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai CEO agensi itu tamat pada 1 Jun lalu.

FINAS dalam kenyataan menyebut, keputusan menamatkan kontrak Md Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.

Dalam tempoh interim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO sehingga jawatan berkenaan diisi, hari ini.

Loading...
Terkini