comscore
Tumpuan :
Nasional

Badan Peguam Malaysia gesa Hakim Besar Malaya dilantik segera

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia menggesa jawatan Hakim Besar Malaya yang kosong sejak 29 Februari lalu diisi segera.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, kekosongan jawatan utama berkenaan boleh menjejaskan persepsi kestabilan dan kepemimpinan dalam badan kehakiman.

Jelasnya, walaupun jawatan itu kini dipangku Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, beliau masih perlu menjalankan tugasnya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

“Kedua-dua jawatan ini memiliki perbezaan, masing-masing dengan tanggungjawab tersendiri yang memfokuskan peringkat mahkamah berbeza. Jawatan ini sebelumnya dipegang individu berlainan juga menekankan kepentingan mengekalkan pemisahan fungsi kehakiman kritikal ini, katanya dalam kenyataan.

Hakim Besar Malaya sebelum ini disandang Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah yang bersara wajib pada 29 Februari lalu.

Tambahnya lagi, peranan hakim besar Malaya bukan sekadar simbolik, tetapi penting dalam mengawasi badan kehakiman, memastikan pentadbiran keadilan berjalan lancar dan melindungi kebebasan mahkamah.

“Kami yakin badan kehakiman negara ada hakim berkemampuan, berpengalaman dan sangat berkelayakan yang lebih daripada bersedia untuk mengambil alih peranan sebagai Hakim Besar Malaya. Tanpa ragu, hakim kita sudah menghabiskan bertahun-tahun dalam bidang undang-undang untuk memimpin badan kehakiman, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini