comscore
Tumpuan :
Nasional

Badan Penarafan Tunggal Program TVET ditubuhkan tahun ini

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu badan Penarafan Tunggal Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditubuhkan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, badan itu akan menyeragamkan kualiti program TVET berdasarkan permintaan pemain industri dan bukan lagi bergantung kepada silibus ditawarkan institusi TVET.

“Perubahan yang dilakukan, silibus ini berdasarkan permintaan daripada pemain industri, ertinya ini bagi mengelakkan ketidakjajaran tentang kursus yang tidak bersesuaian berdasarkan keperluan industri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Zahid, badan penarafan itu akan bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja.

Antara kursus TVET yang diberi tumpuan adalah kecerdasan buatan (AI) serta bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melibatkan teknologi futuristik termasuk kenderaan yang dijana tenaga elektrik yang boleh diperbaharui (REV).

Pada masa sama, beliau berharap Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mengiktiraf lepasan TVET yang akan memberi nilai tambah terutama mempertingkatkan tahap gaji premium kepada golongan berkenaan khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.

Loading...
Terkini