comscore
Tumpuan :
Nasional

Bagaimana teknologi GPR bantu kesan mangsa tanah runtuh

Anggota bomba dan kakitangan Agensi Nuklear Malaysia menggunakan GPR sebagai antara kaedah mengesan mangsa yang tertimbus di Batang Kali – Foto NSTP/Ihsan Agensi Nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia telah menyumbang kepakaran dalam teknologi Ground Penetrating Radar (GPR) bagi mengesan objek bawah tanah menggunakan isyarat elektromagnetik di tapak insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

Setelah menerima permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar Nuklear Malaysia bagi membantu dalam misi dan mencari dan menyelamat (SAR) itu, seramai lima pakar Nuklear Malaysia dari Pasukan GPR ke lokasi kejadian di Batang Kali bermula 19 Disember lalu.

Ini bukan kali pertama Agensi Nuklear Malaysia menyertai misi kerjasama menggunakan alat GPR, sebelum ini kumpulan pakar Nuklear Malaysia pernah menjayakan operasi mengesan rangka mayat tentera Komanwel beserta ahli keluarga dalam Ops Reunite bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Australia pada tahun 2016.

Misi itu berjaya menjumpai 32 rangka mayat manakala dalam Ops Te Auraki bersama ATM dan New Zealand pada tahun 2017 sebanyak 27 rangka mayat ditemui.

Antara lokasi yang telah dilaksanakan berkaitan operasi ini adalah di Taiping Perak, Labuan, Cheras, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah.

Alat GPR atau radar penembusan tanah merupakan salah satu kaedah Ujian Tanpa Musnah atau Non Destructive Testing (NDT) yang menggunakan gelombang elektromagnet untuk mengesan isyarat yang dipantulkan daripada struktur sub-permukaan.

Isyarat pantulan yang dihasilkan oleh GPR bergantung kepada bahan yang mempunyai sifat kekonduksian elektrik (electrical conductivity) yang berbeza dan ketelusan dielektrik (dielectric permittivity) bahan berkenaan.

Menerusi alat ini, pakar GPR dapat mengumpul data secara masa nyata (real time) dan menghasilkan data dengan resolusi yang sangat tinggi dalam masa yang singkat.

Jurucakap Nuklear Malaysia berkata, alat GPR menggunakan antena dengan frekuensi yang berbeza yang akan menghasilkan penembusan kedalaman yang berbeza.

“GPR ini berpotensi digunakan di kawasan pencarian mangsa tanah runtuh kerana ia merupakan teknik tidak memusnah untuk pengimejan bawah tanah yang mempunyai pengimbasan berkelajuan tinggi (high-speed scanning) dan tafsiran di tapak (on-site interpretation) boleh dilakukan dengan segera,” katanya kepada BH.

Satu unit alat GPR digunakan dalan misi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Nuklear Malaysia kini turut memperluaskan lagi penyelidikan dan pembangunan teknologi GPR di dalam bidang arkeologi, penilaian jalan (road assessment), pengesanan kebocoran air (water leakage detection), forensik dan pemetaan utiliti (utility mapping).

Alat ini bukan sahaja berupaya membantu mengesan objek asing di bawah permukaan tanah untuk kes mencari dan menyelamat mangsa, malah GPR juga boleh digunakan untuk tujuan mengesan kubur perang, pengesanan utiliti bawah tanah, pengesanan artifak arkeologi, pengesanan lompang bawah permukaan dan pemeriksaan konkrit. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini