comscore
Tumpuan :
Nasional

Bagasi berisi RM500,000, polis tunggu arahan Pengarah Pendakwaan Negeri

PETALING JAYA: Polis sedang menunggu arahan Pengarah Pendakwaan Negeri berhubung status siasatan bagasi berisi wang tunai RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara dekat sini, pada 19 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan kes itu kini berada pada Pengarah Pendakwaan Negeri.

Menurutnya, tiga saksi itu juga sudah datang dan dirakam percakapan sebelum ini.

“Jadi kita hanya menunggu arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Pada 19 Mac lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai terbabit yang ditinggalkan di kawasan parkir pusat beli-belah itu.

Pengawal keselamatan berkenaan kemudiannya membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada 8 pagi.

Individu yang mendakwa pemilik bagasi terbabit kemudiannya tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, individu berkenaan yang juga pengarah syarikat kayu balak mendakwa tidak menyedari bagasi yang mengandungi wang diambil dari rumah rakannya tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini