comscore
Tumpuan :
Nasional

Bahaya kemurungan ibarat api dalam sekam 

Foto hiasan

Oleh: Dr Rozita Wahab

Kemurungan antara masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dan menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Menurut pernyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara puratanya, kira-kira 3.8 peratus daripada populasi dunia mengalami masalah kemurungan setiap tahun, dengan 5.0 peratus daripadanya melibatkan individu dewasa.

Berdasarkan data tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 pula, terdapat hampir setengah juta rakyat, iaitu kira-kira 2.3 peratus penduduk dewasa di Malaysia mengalami gejala kemurungan.

Bagaimanapun,  pakar percaya  masih banyak kes kemurungan atau masalah kesihatan mental secara amnya yang tidak didiagnosis dan tidak dirawat pada masa ini.

Kemurungan atau depresi adalah masalah kesihatan yang menyebabkan perubahan negatif kepada tiga aspek utama psikologi seseorang individu iaitu mental, emosi, dan juga tingkah laku.

Perubahan ini boleh dilihat dan disedari diri sendiri atau individu rapat berdasarkan gejala  tertentu.

Apabila seseorang mengalami kemurungan, antara gejala mental yang boleh dikesan adalah individu berkenaan mula memikirkan perkara negatif seperti  dirinya tidak berguna dan tidak bermakna kepada orang lain.

Gejala emosi pula adalah apabila seseorang individu menjadi lebih mudah untuk berasa ‘irritated’ atau ‘jengkel’ kepada  perkara tertentu,  mengalami  sedih  berpanjangan atau secara tiba-tiba, serta berasa putus asa dengan kehidupan.

Selain itu, kemurungan juga boleh menyebabkan gejala fizikal seperti keletihanberpanjangan, tahap tenaga  menurun serta perubahan selera makan dan pola tidur.

Daripada sudut tingkah laku, individu yang mengalami gejala kemurungan juga  cenderung untuk menyendiri, kehilangan minat untuk melakukan aktiviti yang biasanya menjadi kegemaran serta cenderung untuk merosakkan atau menyakitkan diri sendiri, dengan mengambil ubat-ubat terlarang, dadah atau alkohol berlebihan.

Bagi kes  lebih ekstrem, individu yang mengalami masalah kemurungan juga cenderung mencederakan diri sendiri atau orang lain, serta  melakukan cubaan bunuh diri.

Kemurungan  terjadi   disebabkan  pelbagai faktor, yang boleh diperjelaskan melalui dua kategori utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor dalaman adalah faktor biologi dan faktor luaran pula adalah faktor persekitaran seseorang individu.

Faktor biologi adalah faktor genetik atau keturunan.

Dr Rozita Wahab, Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya .

Terdapat banyak kajian ilmiah oleh ahli akademik dan  pakar yang menjelaskan  sejarah masalah kemurungan dalam keluarga boleh meningkatkan risiko  seseorang individu berdepan masalah kesihatan mental yang sama.

Selain itu, faktor dalaman juga merujuk kepada perubahan atau gangguan hormon yang berlakudalam badan seseorang.

Antara contoh faktor persekitaran pula adalah pengalaman sukar yang terjadi dalam kehidupan seperti kehilangan atau kematian orang tersayang.

Selain itu, antara faktor lain adalah apabila berlakunya perubahan rutin hidup yang drastik  membuatkan seseorang sukar menyesuaikan diri.

Contohnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan perintah berkurung.

Bagi golongan ‘ekstrovert’ yang gemar melakukan aktiviti luar dan perlu sentiasa berhubung dengan orang lain, tempoh ini merupakan fasa dan pengalaman yang sukar.

Masalah kemurungan juga  disebabkan trauma atau musibah yang terjadi dalam hidup seperti  kemalangan atau serangan fizikal mahupun seksual.

Faktor lain adalah tekanan di tempat kerja, masalah perhubungan dengan orang persekitaran, kehilangan pekerjaan atau penderaan dalam rumah tangga.

Setiap individu adalah unik dan berbeza, tahap ketahanan dan kekuatan mental dan emosi juga tidak sama.

Justeru, faktor yang  menyebabkan  kemurungan  adalah pelbagai dan berbeza.

Jika melihat kepada rawatan, masalah kemurungan  boleh dikawal dan diubati.

Antaranya melalui pengambilan ubat-ubatan, menjalani sesi terapi bersama golongan profesional serta  penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan riadah.

Kaedah rawatan terbaik adalah berdasarkan nasihat dan panduan yang betul daripada golongan profesional.

Bagi individu yang mengalami gejala kemurungan, terdapat beberapa langkah penting mesti dilakukan iaitu mereka perlu menerima hakikat  menghadapi masalah kemurungan, tidak boleh menidakkan gejala  dialaminya, hidup dalam fasa ‘penafian’ atau terus berdiam diri dan tidak mengambil  tindakan lanjut.

Langkah pertama ini sangat penting kerana ia menjadi titik awal kepada langkah seterusnya.

Antara punca yang mungkin menyebabkan seseorang individu tidak mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan masalah kemurungan adalah disebabkan bimbang tentang stigma masyarakat atau tidak mempunyai pengetahuan berkaitan perkara ini.

Seterusnya, apabila individu tersebut menerima hakikat tentang gejala yang dialami, langkah kedua adalah mendapatkan pertolongan pihak tertentu, bermula dengan sokongan sosial daripada individu terdekat diikuti bantuan daripada golongan profesional.

Bantuan ini  amat penting kerana individu yang mempunyai gejala kemurungan memerlukan sistem sokongan sosial yang baik sepanjang tempoh mereka melawan penyakit ini, terutama bagi kes  kemurungan yang kritikal.

Bantuan golongan profesional pula penting untuk memastikan pesakit mendapatkan rawatan berkesan dan sentiasa berada dalam pemantauan.

Langkah seterusnya, jika individu tersebut disahkan menghadapi masalah kemurungan oleh golongan pakar, mereka perlu mengikuti segala rawatan  dicadangkan oleh golongan profesional, seperti menjalani terapi serta mengambil semua ubat-ubatan.

Langkah ini bukan sahaja penting kepada individu yang mengalami masalah kemurungan tetapi turut signifikan kepada individu rapat di persekitaran yang ingin membantu pesakit.

Kesimpulannya, kemurungan boleh diibaratkan “bagai api dalam sekam” apabila kewujudan masalah ini ‘dinafikan’ atau tidak disedari, diabaikan atau dipandang ringan dan tidak dirujuk kepada golongan profesional.

Bagaimanapun, jika gejala kemurungan ini disedari awal dan seterusnya didiagnosis, masalah kemurungan boleh dikawal dan dirawat.

Justeru, amat penting bagi setiap ahli masyarakat untuk peka dan prihatin dengan segala perubahan mental, emosi dan tingkah laku diri sendiri serta perubahan  kepada individu di sekeliling mereka.

Keprihatinan setiap ahli masyarakat berkaitan isu kesihatan mental  bukan sekadar mampu membentuk masyarakat yang sejahtera tetapi mampu menyelamatkan nyawa seseorang.

…..
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya .

Loading...
Terkini