comscore
Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023: KKM Mohon Tambahan 2.5% Untuk Program Kesihatan Mental

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memohon tambahan 2.5 peratus peruntukan dalam Bajet 2023 berbanding bajet tahun sebelumnya bagi program kesihatan mental dan psikiatri.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan itu merangkumi pembayaran gaji pakar psikiatri dan pegawai psikologi, selain pelaksanaan program perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial.

“Sebagai contoh, peruntukan bajet untuk program perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial pada tahun 2022 meningkat 11 peratus berbanding 2021. KKM meminta peningkatan 2.5 peratus untuk bajet tahun depan.

“Kita akan berterusan meminta peningkatan dalam bajet kesihatan mental… dari semasa ke semasa kita cuba tingkatkan lagi perkhidmatan terutama kesihatan mental,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Dana Bagi Program Kesihatan Mental kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini, hari ini.

Untuk rekod, pada tahun ini, KKM diluluskan peruntukan bagi program kesihatan mental dan psikiatri sebanyak RM408.58 juta.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata, sebanyak 307,673 panggilan diterima melalui Talian Bantuan Sokongan Psikososial sejak Mac 2020 sehingga kini.

Daripada jumlah itu, 227,713 panggilan (74.3%) memerlukan sokongan emosi dan kaunseling disebabkan stres yang kronik, kemurungan dan keresahan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Antara faktor penyebab adalah hilang punca pendapatan, kehilangan pekerjaan, krisis kewangan, masalah hubungan contohnya penceraian, kematian orang tersayang, konflik keluarga serta keganasan dan
penderaan.

“Trend kes bunuh diri seperti dilaporkan oleh data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan sebanyak 81 peratus (1,142 kes) pada 2021 berbanding 631 kes pada tahun sebelumnya.

“Ia juga merupakan statistik membimbangkan serta memerlukan perhatian dan tindakan segera,” katanya.

Pada majlis sama, Khairy turut mengumumkan dana berjumlah RM6.2 juta yang akan diagihkan kepada 52 NGO kesihatan mental yang bergiat aktif melaksanakan aktiviti untuk masyarakat.

Loading...
Terkini