comscore
Tumpuan :
Nasional

BAJET 2023: KPLB Mohon 10 Peratus Tabika Kemas Dijadikan Bilik Darjah Pintar

Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan dalam Bajet 2023, antara lain menjadikan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai bilik darjah pintar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, untuk fasa permulaan, beliau mahu 10 peratus daripada keseluruhan kira-kira 11,000 tabika seluruh negara dilengkapi konsep pendigitalan berkenaan.

“Dalam ‘smart classroom’ guru tulis di papan putih, ‘white board’ tu ‘smart board’. Di ‘white board’ tu juga boleh Google, boleh tengok benda dan tulis untuk anak murid.

“Ia perlu dilaksanakan kerana kita mahu menuju kepada suasana tidak lagi seperti hari ini. Tidak boleh lagi dengan cara lama yang digunakan di KEMAS.

“Kalau nak pergi ke KEMAS 2.0, sistem lama tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan KEMAS Semenanjung Malaysia (KESATERIA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi elemen pendigitalan dalam pembelajaran itu, ia sekaligus meningkatkan sistem pendidikan pra-sekolah bawah kementerian tersebut.

“KPLB memohon kepada kerajaan jika boleh untuk memulakan fasa konsep pendigitalan di tabika KEMAS.

“Maksudnya ada elemen pendigitalan di tabika KEMAS berbanding cara pembelajaran diguna pakai ketika ini,” katanya.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Mahdzir turut mengumumkan dana utiliti sebanyak RM30,000 kepada KESATERIA.

Loading...
Terkini