comscore
Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023 penuhi keperluan setiap lapisan rakyat – PM

FOTO: NSTP

BANDAR SERI BEGAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Bajet 2023 yang akan dibentang semula bulan depan, memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat.

Menegaskan intipati Bajet 2023 masih diperincikan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan pentadbirannya tidak akan meminggir mana-mana kumpulan masyarakat.

“Belum siap lagi (Bajet 2023), inilah masalahnya. Sarawak minta (peruntukan), Sabah pun minta (peruntukan).

“Di bawah (pentadbiran) saya, (M40) tidak dipinggirkan. B40 penting, tapi M40 juga kita akan berikan perhatian,” katanya pada sidang media di akhir lawatan dua hari ke Brunei di Empire Hotel, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bajet 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November tahun lalu.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula bulan depan tidak akan terikat dengan apa yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Bajet 2023 yang baharu ini.

Mengikut laporan, tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Bajet 2023 termasuk perbahasan sebelum diluluskan.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari ini dan ditetapkan selama 29 hari. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini