comscore
Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023: Platform Harungi ‘Ribut Ekonomi’

KUALA LUMPUR: Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini memberi amaran ekonomi global berdepan kemelesetan tahun depan susulan tindakan bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah, selain pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan perintah berkurung di China.

Malaysia sebagai ekonomi terbuka juga dijangka terkena tempiasnya yang akan akan menjejaskan pertumbuhannya. Bank Dunia baru-baru ini juga menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus yang dibuat sebelumnya.

Berikutan itu, Bajet 2023 bercirikan pengembangan yang akan dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang ini dijangka menjadi platform untuk persediaan negara mengharungi ramalan ‘ribut ekonomi’ pada tahun hadapan.

Dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar kerajaan dijangka akan terus menyediakan bantuan serta sokongan yang relevan kepada rakyat dan perniagaan, berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat meliputi segenap lapisan masyarakat, khususnya kumpulan B40 dan M40.

Bertemakan Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, Belanjawan 2023 akan digubal berdasarkan tiga bidang keutamaan.

Pertamanya, memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dengan memastikan pertumbuhan bukan sahaja dari aspek KDNK tetapi turut merangkumi aspek pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Malaysia dan perniagaan.

Keduanya, memperkukuh daya tahan ekonomi untuk mendepani kejutan pada masa hadapan menerusi pembaharuan ke arah mewujudkan perlindungan sosial yang lebih baik terutamanya bagi masyarakat yang mudah terjejas, sistem kesihatan awam yang lebih kukuh, kedudukan fiskal yang lebih mampan untuk menyediakan penampan terhadap kejutan masa hadapan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Akhir sekali, melaksanakan pembaharuan yang komprehensif dalam aspek ekonomi perniagaan, sektor keutamaan dan negara untuk muncul lebih berdaya saing di peringkat global di samping memperkukuh agenda pembangunan mapan.

Secara ringkasnya, Bajet 2023 akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, pendapatan, dan perlindungan sosial serta menambahbaik daya saing perniagaan dan rantaian nilai di samping memperkukuhkan kedudukan fiskal kerajaan dan daya tahan negara dalam mendepani sebarang kejutan pada masa akan datang.- Berita Harian

Loading...
Terkini