comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bakal abang ipar kini jodohku

(kiri) Nur Malina selamat bernikah dengan Shahron September lalu. (kanan) Allahyarham Shahrizuan

KUALA LUMPUR: Siapa sangka bakal abang ipar rupanya jodoh yang akan mengisi ruang hati ditinggalkan tunang yang meninggal dunia akibat lemas.

Itulah ketentuan Allah yang dihadapi Nur Malina Mohd Rozani, 24, yang sepatutnya bernikah pada 30 Jun lalu menerima berita sedih apabila tunang tercinta, Allahyarham Shahrizuan Shukri, 28, meninggal dunia akibat lemas di Sungai Pasir Pekan, Kelantan pada 25 Mei lalu.

Bagaimanapun kesedihannya tidak berpanjangan apabila dijodohkan dengan abang kepada arwah tunangnya, Shahron Shukri, 32, pada 8 September lalu.

Menurut Malina yang juga guru tadika berkata, kedua mereka menerima keputusan keluarga dan bercinta selepas kahwin.

“Kisah saya dengan suami boleh dikatakan jodoh. Perjalanan cinta yang indah sebab semua atas ketentuan Allah dan terjadi begitu pantas. Jodoh yang tak pernah disangka dan kami bertemu dengan cara ini.

@malinaaaaa99

Alhamdullillah ya allah🥹 8 September 2023 sy sah menjadi isteri kepada SHAHRON BIN SHUKRI❤️ abang kepada arwah tunang sy shahrizuan bin shukri… ALLAHUAKBAR benarlah jodoh itu rahsia allah🥹🫶🏻 assalamualaikum zauj🥹🤍 terima kasih abe shahron kerana sudi menjaga titipan dari arwah, arwah mesti bangga dgn abe🥹 terima kasih bersedia utk bercinta slps kahwin🫶🏻🥹🥹🥹 Menerima zauj dari jawapan illahi melalui istikarah… allah🥹 semoga yg baik2 buat kita duhai kekasih baru ku yg halal🥹🤲🏻✨ thanks for all the dua🥹🫶🏻 may allah bless u all💕🌹#shahron🤍nina

♬ original sound – Nur Malina – Nur Malina

“Mak dan ayah arwah yang kini mentua amat sayangkan saya. Pada masa sama, saya bersyukur dipertemukan dengan orang baik sebab arwah selalu pesan dia sangat sayangkan saya.

“Disebabkan itu, selepas arwah tiada mak dan ayah dia tak nak sia-siakan saya. Jadi, mereka ambil keputusan untuk menjodohkan saya dengan abang arwah. Kebetulan abang arwah ‘single’ lagi dan dia seorang saja yang belum kahwin,” katanya.

Nur Malina atau Nina berkata, dia hanya mengenali suaminya itu selepas tunang meninggal dunia.

“Allah itu sebaik-baik Perancang. Kalau nak tahu, dalam adik-beradik mereka, suami seorang saja yang betul-betul mirip arwah dan namanya seakan sama.

“Waktu itu terkejut juga sebab saya kenal suami pun selepas arwah tiada. Sebelum tu saya tak kenal cuma tahu nama dan cerita yang suami ini sama dengan arwah,” katanya.

Menurutnya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata, dia menerima suami dan perkahwinan dibuat kerana Allah bukan bagi mengisi kekosongan hati.

“Sedikit nasihat untuk yang melalui situasi sama macam saya, jangan takut nak buat solat sunat istikharah. Buatlah sehabis baik dengan ikhlas kerana Allah.

“Memanglah pada awalnya berasa takut, sebab bimbang jawapannya lain dengan yang kita mahu dan rasa susah sangat nak menerima semua ini. Tapi kalau itu perkara yang terbaik Allah pasti permudahkan urusan untuk menerima segalanya. Asal saja niat kita kerana Allah. Untuk siapa kita hidup melainkan kerana Dia.

“Saya tak naklah hidup dengan suami tapi terbayang muka arwah. Saya terima dia seadanya dan atas aturan Allah. Alhamdulillah, Allah berikan segalanya. Rasa cukup, tenang dan semuanya yang baik-baik. Habis sudah kenangan saya dengan arwah, kini kehidupan saya dengan suami tercinta,” katanya.

Loading...
Terkini