comscore
Tumpuan :
Nasional

Bakal haji daftar guna visa Mujamalah, dinasihat pilih syarikat PJH

MAKKAH: Bakal haji yang sudah atau ingin mendaftar haji menggunakan visa Mujamalah perlu memilih syarikat pelancongan yang dilesenkan oleh Tabung Haji (TH) dan digelar sebagai syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Visa Mujamalah ialah visa yang dianugerahkan setiap tahun oleh kerajaan Arab Saudi kepada orang tertentu serta individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat serta kementerian yang sama dengannya di Malaysia.

Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya syarikat pelancongan yang tidak mempunyai lesen PJH menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji, kerana melanggar Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995, Akta 535.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata setiap tahun Tabung Haji akan mengumumkan kuota rasmi bagi Malaysia dan seperti yang semua sedia maklum, kuota rasmi pada tahun 1445H/2024M adalah sebanyak 31,600.

“Kuota rasmi ini akan memperoleh visa haji yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia.

“Namun, selain visa haji terdapat juga visa Mujamalah yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan diberikan kepada orang-orang tertentu dalam jumlah yang sangat terhad,” katanya lagi kepada Petugas Media TH pada sidang akhbar, di sini baru-baru ini.

“Agensi atau syarikat PJH sudah disaring dengan teliti dan telus bagi memastikan mereka mempunyai keupayaan kewangan, “track record” pengurusan jemaah yang baik dan diyakini sebagai syarikat berwibawa untuk menggunakan Visa Mujamalah ini.

“Maka dengan proses pelesenan ini, TH boleh memberi jaminan bahawa bakal haji boleh berasa yakin yang urusan haji mereka insya-Allah selamat dan kebajikan mereka akan terjaga jika menggunakan PJH,” katanya.

Apabila visa Mujamalah diberikan kepada agensi tertentu, agensi berkenaan perlu memohon bersama ‘ground services’ yang disediakan dalam aplikasi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sehingga kini, terdapat 25 agensi yang dilesenkan oleh Tabung Haji dan digelar sebagai syarikat PJH termasuk Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd dan Andalusia.

TH mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa mendapat kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini