comscore
Tumpuan :
Nasional

Bakal jemaah haji terkandas: Lesen pelancongan syarikat dibatal serta merta jika bersalah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lesen pelancongan syarikat yang didapati bersalah mengakibatkan 300 bakal jemaah haji tempatan yang terkandas di Makkah, akan dibatalkan serta merta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberi amaran itu kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah tersebut, selain menghalang berlaku perkara tidak diingini serta menjaga hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) untuk menjalankan siasatan dengan teliti dan memahami insiden ini, tidak kira ianya berita palsu atau berita sahih.

“Beliau telah mengamanahkan pihak Tourism Malaysia yang berdekatan untuk menyiasat insiden ini. MOTAC sedang menunggu laporan penuh daripada mereka dan sekiranya diperlukan, pihak kementerian akan menghantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) diarah menyiasat kejadian 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah selepas terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, jemaah haji tersebut telah dimaklumkan bahawa pas pelancong yang digunakan boleh ditukarkan kepada umrah atau haji.

Jelasnya, tindakan itu tidak bertanggungjawab sama sekali kerana agensi pelancongan atau individu tertentu telah menyalahgunakan kepercayaan jemaah dengan memberikan maklumat yang tidak tepat.

Malah, pada tahun 2023, MOTAC telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan penggunaan visa pelancong dan umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

“Saya juga ingin tegaskan, perkara ini tidak melibatkan sebarang sentimen pilih kasih atau diskriminasi pada mana-mana kaum. Saya amat menghormati semua kaum dengan sama rata dan adil serta tidak wujud sebarang unsur prejudis daripada mana-mana pihak.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya amat menghormati semua individu atau mana-mana pihak tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berbeza. Namun, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil secara adil,” katanya.

Susulan itu, beliau menyarankan mangsa untuk membuat laporan kepada TH dan pihak kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan khidmat bantuan serta nasihat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini