comscore
Tumpuan :
Nasional

Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Krau Ditunggu Penduduk

Foto: Harian Metro

KUALA KRAU: “Memang ada Bomba sukarela, tapi air ‘kenek’ (kecil). Nak tunggu bomba (dari) Temerloh, agak jauh juga ambil masa 45 minit.

“Kalau rumah terbakar, dan (sempat) hangus dulu. Jadi memang balai bomba terlalu penting untuk masyarakat Kuala Krau ni,” kata Baizura Man, 35, dari Jalan Pekan Sehari Lama di sini.

Peniaga pisang goreng itu berkata, kewujudan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, menjadi ‘halwa telinga’ buat penduduk Kuala Krau.

“Selepas ini kalau jadi banjir atau bencana, kita penduduk di sini tidaklah risau sangat sebab dah ada balai bomba, tak perlu tunggu lama kalau ada kecemasan,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di Bandar Kuala Krau, hari ini.

Foto: Facebook Rasmi Datuk Seri Reezal Merican

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapan perasmiannya berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau menjadi keperluan penduduk setempat yang sebelum ini mendapatkan bantuan khidmat daripada Balai Bomba dan Penyelamat dari Temerloh dan Jerantut yang berjarak kira-kira 40 kilometer dari sini.

“Justeru, dengan adanya balai bomba dan penyelamat di sini yang sudah pastinya dilengkapi pelbagai aset dan peralatan yang terkini, saya yakin kesejahteraan penduduk di kawasan ini akan lebih terjamin.

“Penubuhan balai bomba di sesuatu kawasan seperti di Kuala Krau ini menjadi satu keperluan utama dalam usaha memastikan sebarang insiden kecemasan yang berlaku dapat ditangani dengan lebih efektif dan responsif, sekali gus memastikan masyarakat yang berada di sekitarnya mendapat perlindungan kebombaan yang menyeluruh,” katanya.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Adun Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Adun Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau itu menjadikan jumlah keseluruhan balai bomba di Pahang kini sebanyak 28 buah.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, Kerajaan Pusat bersetuju menambah tiga lagi bot penyelamat untuk keperluan balai berkenaan yang kini mempunyai dua bot. – Harian Metro

Loading...
Terkini