comscore
Tumpuan :
Nasional

Balik kampung di pedalaman tidak lumpuhkan hasrat berhari raya

Penduduk Kampung Gusai menggunakan rakit membawa motosikal menyeberang Sungai Sepia untuk berhari raya di di sana.-Foto: NSTP

JERANTUT: Hasrat balik kampung di kawasan pedalaman untuk menyambut Aidilfitri tidak melumpuhkan semangat Yusof Zaki Ramli.

Menurut Yusof, dia gembira dengan apa yang dilakukannya walaupun terpaksa perjalanan yang jauh dan sukar.

Untuk Aidilfitri kali ini dan seperti tahun-tahun sebelumnya, Yusof, 66, yang kini menetap di bandar Jerantut, pulang ke kampung halamannya di Kampung Gusai yang terletak kira-kira 130 kilometer jauh.

“Saya balik ke kampung dengan memandu kereta dari bandar Jerantut mengambil masa kira-kira dua jam ke Kampung Bantal dan meletakkan kereta di sini untuk menyeberang Sungai Tembeling ke Kampung Bantal Seberang yang mengambil masa kira-kira 10 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan air sungai ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, selepas itu, dia menggunakan khidmat orang kampung untuk menghantarnya ke jeti Kampung Salat sejauh kira-kira empat kilometer atau mengambil masa kira-kira 20 minit melalui jalan konkrit selebar kira-kira 1.5 meter meter.

“Dari jeti Kampung (Kg) Bantal Seberang, saya melalui Bukit Hangus, Kuala Jemual, Kampung Berenang, Kampung Mogol, Bukit Salleh dan Kampung Pintas sebelum sampai Kampung Salat untuk turun ke rakit menyeberang Sungai Sepia.”

Selepas itu, saya “jemerang” (menyeberang) menggunakan bot ke pengkalan sekolah, Kampung Gusai,” katanya.

Jelas Yusof, bagi yang membawa motosikal, kebiasaan caranya ialah dengan menaikkannya ke atas bot biasa menyeberang Sungai Tembeling ke Kampung Bantal Seberang sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Salad dan menaikkan motosikal ke atas rakit untuk menyeberangi Sungai Sepia ke pengkalan sekolah Kampung Gusai.

Seorang penduduk Kampung Gusai, Salim Mohd Zin (60) berkata ada juga yang datang dari Kampung Bantal menyusuri Sungai Tembeling sebelum masuk ke cabang Sungai Sepia untuk terus ke Kampung Gusai dengan menaiki bot biasa yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Kampung Gusai sebuah kampung tradisional yang terletak di pesisir Sungai Sepia adalah penempatan kampung tradisional yang paling akhir di dalam Mukim Ulu Tembeling dan semasa sambutan hari raya Aidilfitri atau Aidiladha termasuk cuti panjang menjadi tumpuan anggota keluarga yang tinggal di luar menziarah keluarga masing-masing.”

Tambahnya, penduduk di sini menjalankan aktiviti pertanian dan berkebun getah yang merupakan hasil utama penduduk.

Katanya, penduduk Kampung Gusai yang mahu menjual hasil pertanian masing-masing akan pergi ke Kampung Bantal Seberang dengan membawa motosikal masing-masing menggunakan rakit untuk menyeberang Sungai Sepia untuk dihantar kepada peraih yang sedia menunggu.

“Kampung Gusai, walaupun jauh di pedalaman, kemudahan asas yang diperlukan tersedia termasuk bekalan elektrik, bekalan air paip, masjid, sebuah sekolah iaitu Sekolah kebangsaan Gusai dan klinik bagi kemudahan kira-kira 50 rumah penduduk di sini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini