Oleh: Khairul Rizuan Azizan
PETALING JAYA: Balu kepada artis alih suara Muhammad Aizat Adnan iaitu Nor Aziantie Azhar kini terlantar di kediaman ibunya di Kuala Nerus, Terengganu berikutan penyakit auto imun ‘pemphigus vulgaris’ yang menyebabkan seluruh kulitnya melepuh.
Menurut ibunya, Liza Suriani Abdul Rahman penyakit Aziantie mula dikesan pada Mac lalu selepas menyedari terdapat pembentukan ulser di mulutnya sebelum merebak ke seluruh anggota badan.
“Dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, keadaan dia makin serius. Badan dia dah dipenuhi lepuhan air dan pecah melecur seperti kulit terbakar,” katanya kepada Buletin TV3.
Aziyantie sebelum ini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selama 76 hari dan dibenarkan pulang pada Khamis lalu.
Beliau yang tidak bekerja kini memerlukan jasa orang ramai untuk membeli peralatan cucian luka selain menampung kos pembelian lampin pakai buang, tisu basah dan susu setiap hari.
Hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Muhammad Aizat yang pernah menjadi suara latar bagi animasi popular Kung Fu Panda, beliau mempunyai seorang anak lelaki berusia 6 tahun.
Perkahwinannya bersama suaminya kini, dia mempunyai seorang bayi perempuan berusia 6 bulan.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 512400515982 atau hubungi ibunya di talian 017-9162993.