comscore
Tumpuan :
Nasional

Banci Pertanian 2024 dilaksana semula setelah hampir 2 dekad

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SERDANG: Setelah hampir dua dekad tidak dilaksanakan, Banci Pertanian 2024 akan dijalankan selama tiga bulan bermula Ahad ini sehingga 10 Oktober depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi banci tersebut, kerajaan dapat mewujudkan kerangka data pertanian merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam ekosistem pertanian.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, banci berkenaan merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, perhutanan serta pembalakan.

“Operasi Banci Pertanian kali ini akan meliputi lebih 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi dan persatuan.

“Turut disasarkan sekurang-kurangnya 1.3 juta tempat kediaman pengusaha dan pemilik pertanian,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024, di sini hari ini.

Banci Pertanian 2024 adalah banci kali keempat dilaksanakan di negara ini selepas kali terakhir dilaksanakan pada 2005 iaitu 19 tahun lalu.

Menurut Datuk Seri Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Statistik Data Negara, inisiatif tersebut dapat meningkatkan ketersediaan data yang komprehensif, real-time (masa sebenar), berkala dan bermanfaat kepada pelbagai pihak.

“Data banci yang komprehensif akan menjadi sumber teknikal untuk sektor pertanian khususnya menjadi input utama kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kelak,” katanya.

Datuk Seri Fadilah berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mencadangkan sektor pertanian dikembangkan melalui penggunaan panel solar kerana kajian yang dilakukan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati hasilnya memberangsangkan.

“Mengintegrasikan sistem agrivolta ke dalam rangka kerja Malaysia khususnya dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) menawarkan faedah yang signifikan.

“Ini dengan menggabungkan sektor pertanian dengan penjanaan tenaga fotovoltaik, sistem agrivoltaik menggunakan tanah dengan cekap untuk memajukan tenaga boleh baharu Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini