Tumpuan :
Nasional

Bangkai harimau belang mati digilis lori dipercayai dicuri

Bangkai harimau belang yang mati akibat digilis lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, di sini, hari ini dijumpai dalam keadaan bahagian yang tidak sempurna dipercayai dicuri. – FOTO: Tangkap layar video tular/ Ihsan Pembaca

GERIK: Bangkai harimau belang yang mati akibat digilis lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, di sini, hari ini dipercayai dicuri selepas dijumpai dalam keadaan bahagian yang tidak sempurna.

Ia termasuk bahagian kulit mamalia itu yang ditemukan seolah sudah disiat, menerusi video yang tular.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, hasi penelitian mendapati banyak bahagian dari harimau itu hilang dan justeru pihaknya kini bekerjasama dengan polis dalam usaha mengesan pencuri itu.

Dalam pada itu, Yusoff menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kemalangan itu agar menghubungi polis atau Perhilitan bagi membolehkan tindakan diambil.

“Memandangkan hasil penelitian kami banyak bahagian dari harimau belang ini didapati hilang, pihak kami (Perhilitan) dengan kerjasama polis akan mengumpul maklumat dalam usaha mengesan mereka yang bertanggungjawab mengambilnya.

“Bagi individu yang sudah mengambil bahagian tertentu dari karkas atau bangkai harimau itu sama ada sebahagian kulit, taring, tulang, kuku atau misai, serahkan segera kepada pihak Perhilitan bagi mengelakkan dari diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, mereka yang didapati bersalah kerana memiliki apa jua bahagian dari Harimau Malaya tanpa kebenaran, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM150,000 dan maksimum RM1 juta, serta penjara tidak melebihi 15 tahun iaitu peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta A1646).

Sementara itu, difahamkan Polis Daerah Gerik tidak menerima sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pemilik lori yang terbabit dalam kejadian harimau mati digilis itu.

Terdahulu, tular video memaparkan bangkai harimau belang di atas jalan raya yang hanya tinggal kepala selepas dipercayai dilanggar lori, di samping video memaparkan bahagian tubuh badan bangkai haiwan itu yang hampir keseluruhan sudah tercabut bahagian kulitnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini