KUCHING: Bangkai paus yang tersangkut di tiang Jambatan Batang Lupar yang dalam pembinaan akan diambil oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Muzium Sarawak, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Nazari Haron berkata, pihaknya dimaklumkan oleh SFC berhubung operasi yang akan dijalankan.
“Ya, pihak SFC ada menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan anggota bomba bagi memastikan keselamatan petugas sepanjang operasi pemindahan bangkai paus itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Nazari berkata, semalam, pihaknya sudah meninjau lokasi bangkai mamalia laut itu tersangkut dan mengikatnya bagi mengelak dihanyutkan jika air sungai pasang.
Bangkai ikan paus dianggarkan sepanjang 10 meter itu mula ditemui terapung oleh penduduk kampung berdekatan Pulau Seduku di Sungai Batang Lupar di Sri Aman, Selasa lalu.
Bagaimanapun, penduduk membiarkan bangkai mamalia itu hanyut sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Susulan penemuan oleh penduduk kampung itu, SFC meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengesan bangkai berkenaan.
Nazari berkata, sebaik menemui bangkai mamalia itu, ia diikat pada tiang jambatan berikutan keadaan sungai berombak dan angin kuat yang menyukarkan usaha mengambilnya.
Difahamkan, bangkai mamalia itu pertama kali ditemui di Sungai Batang Lupar yang terkenal sebagai habitat buaya bersaiz besar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.