comscore
Tumpuan :
Nasional

Bangunan SK Sederut musnah terbakar

Oleh: Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Blok bangunan bilik tayangan Sekolah Kebangsaan Sederut di Perkampungan Orang Asli di Pos Sederut, dekat sini musnah terbakar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata kebakaran berlaku kira-kira jam 10:29 malam itu disedari kakitangan sekolah terbabit dan bertindak pantas menghubungi bomba.

Menurutnya, 10 anggota dari Balai Bomba Sungai Koyan dan Raub bergegas ke lokasi sebaik menerima mendapat laporan.

Katanya, jarak antara Balai Bomba Sungai Koyan dan sekolah terbabit sejauh 47 kilometer.

“Bagaimanapun jentera pemadam tidak dapat memasuki laluan ke sekolah terbabit kerana jalan sempit.”

“Anggota bomba terpaksa menggunakan pacuan empat roda ke sekolah itu,”

“Sebaik tiba di lokasi mendapati satu blok bangunan sedang terbakar dan api terlalu marak.” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Zulfadli berkata, anggota bomba menggunakan sumber air terbuka terletak lebih 60 meter dari blok sekolah dan dipam untuk mengawal serta memadam kebakaran.

Menurutnya, bilik tayangan itu adalah bangunan lama sekolah terbabit dan separuh strukturnya diperbuat daripada kayu.

Katanya, kebakaran itu memusnahkan keseluruhan blok bangunan terbabit.

“Bagaimanapun tindakan pantas bomba dapat mengawal api daripada merebak ke bangunan bersebelahan bilik tayangan yang terbakar itu.” katanya.

Punca kebakaran serta nilai kerugian sedang disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini