comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: 2 pintu masuk JKDM ke pekan Rantau Panjang ditutup

Dua pintu masuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk ke pekan Rantau Panjang ditutup selepas kawasan sekitar dinaiki air separas 0.5 meter sejak malam tadi. – Foto: NSTP

RANTAU PANJANG: Dua pintu masuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk ke pekan ini ditutup selepas kawasan sekitar dinaiki air separas 0.5 meter.

Air mula memenuhi beberapa kawasan di pekan itu susulan hujan lebat serta limpahan Sungai Golok, sejak malam tadi.

Tinjauan mendapati, hanya Pintu Satu JKDM bersebelahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), masih dibuka dan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Setakat ini, kawasan perniagaan masih bebas banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata menasihatkan orang ramai berhati-hati terutama jika cuaca masih hujan yang boleh menyebabkan paras air meningkat.

“Dua pintu masuk yang dilanda banjir iaitu berdekatan Kampung Parit Air dan Kampung Bagus, di sini, tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa, selain jalan berdekatan yang sudah ditenggelami air.

“Jalan utama ke Pintu Satu juga dilihat digenangi air tetapi masih boleh dilalui kenderaan.

“Selain itu, jalan utama di Pasir Mas-Rantau Panjang masih boleh dilalui, kecuali jalan Lalang Pepuyu- Rantau Panjang yang sudah ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di empangan Bukit Kwong, berdekatan Sungai Golok, mencatat bacaan 17.31 meter, setakat jam 8.30 pagi ini, melebihi paras berjaga-jaga.

Sementara itu, peniaga makanan, Rosnani Zakaria, 36, berkata dia masih membuka gerai makanan miliknya memandangkan masih ada jalan yang boleh dilalui untuk ke pekan namun dalam keadaan bersedia memandangkan paras air Sungai Golok semakin meningkat.

“Jika hujan lebat hari ini, saya akan mengemas barangan ke tempat tinggi kerana biasanya pekan ini juga akan dinaiki air separas 0.3 hingga 0.6 meter dan masuk ke dalam kedai,” katanya.

Loading...
Terkini